KUALA LUMPUR 23 Jan. – Kumpulan The New Professional (TNP) akan bekerjasama dengan New Image International untuk melahirkan sekurang-kurangnya 500 jutawan di negara ini menjelang 2013.

 

Peneraju TNP, Nik Hafiz Nik Manshor berkata, usaha untuk mencapai jumlah jutawan itu akan dilakukan menerusi pembukaan serta penambahan rangkaian syarikat tersebut termasuk di luar negara.

 

Katanya, sebagai ejen pemasaran kepada produk New Image International, TNP juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kepada pemasaran produk kesihatan terkenal dunia

 

“Kita percaya hasrat mencapai 500 jutawan ini akan dicapai menerusi pembukaan rangkaian syarikat di dalam dan luar negara sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi kepada rakyat,” katanya di sini hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian The New Professional Seminar dan perasmian produk Alpha Lipid di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

 

Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Naib Presiden New Image Asia Pasific, N. H. Chua.

 

New Image International merupakan syarikat yang mengeluarkan produk Alpha Lipid.

 

Sementara itu, Abdullah dalam ucapan perasmiannya memberitahu, usahawan di negara ini perlu bijak mengenal pasti dan berani merebut setiap peluang yang wujud untuk berjaya dalam karier mereka.

 

Jelas beliau, ia juga perlu diiringi dengan pengalaman dan pengetahuan, kerja keras serta sifat ikhlas bagi memastikan peluang yang datang kepada usahawan itu tidak berlalu dengan sia-sia.

 

Pada masa yang sama katanya, usahawan itu perlu mengamalkan gaya hidup sihat serta menjadikan kehidupan mereka bererti dengan berbakti kepada keluarga dan masyarakat.

 

“Saya percaya dengan cara ini, akan lebih banyak lagi peluang yang wujud dari masa ke semasa dan manfaatkanlah ia dengan sebaik-baiknya untuk berjaya,” katanya.

 

Abdullah menambah, sehubungan itu, beliau telah mencadangkan kepada New Image International supaya membuka sebuah pusat penyelidikan di Malaysia.

 

 

 

ABDULLAH Ahmad Badawi menandatangani plak tanda perasmian Alpha Lipid di KLCC, Kuala Lumpur, semalam.